mutakhir

UMK mahu jadi universiti terbaik dunia

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menetapkan sasaran untuk menjadi antara universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun lagi.

Naib Canselornya Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan usia UMK kini memasuki 12 tahun.

Katanya sepanjang tempoh itu UMK sudah banyak menempa kejayaan termasuk dalam bidang inovasi.

Menurutnya, UMK memiliki kekuatan gabungan antara bidang sains, keusahawanan, perniagaan dan kesusasteraan.

“Bagi mencapai sasaran itu kita bukan saja bekerjasama dengan pemain industri dalam negara, malah turut menjalinkan hubungan dengan rakan strategik antarabangsa seperti universiti di China dan Indonesia.

“Kerjasama ini penting supaya penyelidikan UMK dapat menembusi pasaran yang lebih besar. Dalam tempoh sebulan ini, kita sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lebih 10 pemain industri,” katanya selepas program Jalinan Mesra Pengurusan UMK Bersama Media di Hotel Perdana, Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata, UMK juga menandatangani MoU dengan China Agricultural University (CAU) iaitu universiti berasaskan pertanian di China dan University of International Business and Economics (UIBE) bagi mengembangkan bidang keusahawanan penuntut.

Jelasnya antara pencapaian UMK adalah universiti paling banyak memenangi pingat emas iaitu tujuh pingat emas dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2019 pada Februari lalu.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 3:31pm
d