hati

Kulit 'muda berkilau'

Oleh Siti Zarinah Sahib

PENGGUNAAN bedak asas mampu melindungi bekas jerawat dan cela pada wajah sekali gus menjadikan tona kulit sekata. Namun ramai wanita bimbang akibat cuaca panas solekan mudah cair dan menyebabkan wajah bertompok.

Selain memakai pelembap bagi menjadikan solekan lebih tahan lama, minyak argan juga antara pelembap terbaik seterusnya menjadikan solekan lebih tahan lama.

Mendedahkan hal ini menurut jurusolek profesional Zulfazli Suhadi, minyak argan mengandungi vitamin E dan antioksidan yang dapat melawan kerutan serta perubahan kulit selain menjadikan kulit ‘muda berkilau’.

“Minyak argan adalah pelembap semula jadi dan organik yang mudah diserap kulit hasilnya kulit lebih tegang serta lembut.

“Selain untuk kecantikan, minyak argan sering dijadikan bahan asas kesempurnaan sapuan bedak asas cecair sebelum bersolek,” katanya.

Cara pemakaian mudah sahaja iaitu ratakan minyak argan ke seluruh wajah diikuti sapuan bedak asas New Skin Foundation daripada Carrisa.

“Selain menutupi bekas jerawat dan cela bedak asas ini juga dapat mengawal pertumbuhan jerawat terutama mereka yang masih remaja. Selain itu ia juga tahan lebih lama dan mampu menyerlahkan keceriaan dan keserian. Kandungan SPF 30 pula dapat mengawal sinaran matahari,” katanya.

Menggunakan produk yang sama hasilkan bayangan (shading) dengan menyapu warna lebih gelap di kanan kiri wajah juga di kanan kiri hidung untuk kesan bayangan.

“Tujuan bayangan adalah untuk memberi samaran pada bentuk wajah bagi menghasilkan kesan sama ada memancungkan hidung dan mengecilkan bentuk wajah atau dahi,” katanya.

Gunakan bedak warna cerah atau highlighter bagi menyerlahkan bentuk wajah. Sapu pada dahi, hidung, bawah mata, rahang, dagu dan juga bawah kening.

Sapuan bedak secara rata di seluruh wajah dapat menghasilkan kesan yang diingini iaitu bentuk muka tampak berseri.

Selepas itu lukis kening dengan pensil berwarna coklat gelap untuk hasil yang sempurna dan ratakan dengan berus khas.

“Pemakaian maskara sangat penting supaya solekan lebih anggun. Namun pastikan anda menggunakan teknik zig zag dari bawah ke atas supaya bulu mata lebih lentik,” nasihatnya.

Ratakan pembayang mata berwarna merah jamu kekuningan di seluruh kelopak mata untuk kesan segar dan sedikit celak coklat di bawah mata supaya mata kelihatan lebih menawan.

Untuk pemerah pipi pula pilih warna yang samar supaya wajah lebih muda dan manis. Ia juga sesuai dengan konsep solekan untuk acara makan malam yang memerlukan seseorang itu bergaya glamor namun masih kelihatan sederhana dan menawan.

“Akhir sekali layangkan gincu matte merah jambu muda medusa Carissa yang sangat sesuai supaya wajah kelihatan lebih remaja,” katanya.

LANGKAH DEMI LANGKAH

Tip mengelak sapuan bedak asas ‘pecah’

1. Sapu primer sebelum memakai bedak asas. Primer ialah krim yang dipakai selepas krim pelembap. Ia berfungsi menutup pori dan meninggalkan kesan licin pada kulit. Primer juga menghalang muka menjadi berminyak dan mengekalkan bedak asas. Kini primer didatangkan dalam bentuk semburan, cecair serum dan serbuk.

2. Elak memakai bedak asas terlalu tebal kerana ia berisiko membuatkan solekan bertompok atau pecah. Gunakan penyamar noda (concealer) untuk menutup bahagian cela. Biar sapuan nipis bedak asas kelihatan semula jadi.

3. Anda boleh menggunakan pelbagai peralatan solekan seperti span, berus atau jari. Semua peralatan ini mampu memberikan kesan yang baik seandainya anda tahu teknik yang betul untuk mengelak solekan pecah. Pastikan anda membuat sapuan secara sebelah muka kemudian beralih kepada bahagian yang belum disapu.

4. Gunakan minyak argan sebelum memulakan sapuan bedak asas kerana ia menjadikan solekan tampak sekata dan mulus.

5. Akhiri solekan anda dengan sapuan bedak debu ke seluruh wajah.

Trivia

Kira-kira 5000 tahun dahulu lelaki dan wanita Sumeria purba adalah manusia pertama mencipta dan memakai gincu. Mereka menghancurkan batu permata dan menggunakan bahan ini bagi menghiasi wajah mereka, terutamanya pada bibir dan di sekeliling mata.

Minyak jarak digunakan orang Mesir purba sebagai salap manakala arang sebagai celak bagi mencantikkan mata.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 5:00am
d