arena

Kedudukan Cardiff makin tenat

Oleh AFP

CARDIFF City semakin hampir tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris dan kembali ke Liga Kejuaraan selepas kalah 0-2 di Burnley, malam tadi.

Ketika pertarungan untuk merebut empat tangga teratas dilihat semakin sengit, perjuangan untuk mengekalkan status mungkin berakhir sekiranya Brighton menewaskan Cardiff, awal pagi Rabu ini.

Kelab Wales itu terperosok lima mata di belakang zon selamat selepas kekalahan secara kontroversi di Turf Moor.

Chris Wood membantu tuan rumah mendahului pada babak pertama, namun Cardiff berang selepas pengadil Mike Dean menafikan keputusan pembantunya untuk memberikan penalti kepada pelawat selepas rehat.

Satu lagi rayuan Cardiff untuk mendapatkan sepakan penalti ditolak sebelum Wood memastikan kemenangan pada masa kecederaan.

“Dua insiden pemain memegang bola, anda perlu melihat reaksi pemain - dia kelihatan terlalu bersalah,” kata pengurus Cardiff, Neil Warnock.

“Bagi yang kedua kami rasakan ada pergerakan tangan menyentuh bola.”

Brighton masih mampu dikejar anak buah Warnock apabila mereka tumbang 0-5 di laman sendiri kepada Bournemouth.

Cherries kalah 11 daripada 12 perlawanan mereka di gelanggang lawan, namun melonjak ke tangga ke-12 terima kasih kepada gol sumbangan Dan Gosling, Ryan Fraser, David Brooks, Callum Wilson dan Junior Stanislas.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 1:13pm
d