arena

Peluang Valencia rebut slot Liga Juara-Juara kembali cerah

Oleh Reuters

DUA jaringan Goncalo Guedes melonjakkan Valencia ke tangga kelima La Liga selepas mengatasi Real Betis 2-1 di tempat lawan awal pagi tadi sekali gus mencerahkan peluang merampas slot terakhir Liga Juara-Juara.

Kedua-dua jaringan Guedes diperolehi menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada kedua-dua babak perlawanan untuk membolehkan skuad Marcelino meraih 52 mata, menolak Sevilla ke tangga keenam.

Getafe yang menewaskan Sevilla 3-0 semalam menduduki tempat keempat dengan 54 mata.

Valencia hanya tewas sekali dalam 22 perlawanan semua kejohanan. Mereka yang mara ke separuh akhir Liga Europa dan Copa del Rey lebih berhak menang dalam aksi di Stadium Benito Villamarin walaupun menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Rodrigo menerima kad merah selepas mendapat kad kuning kedua.

Mereka kerap mengancam kubu tuan rumah pada babak pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang sehinggalah Guedes meledak rembatan deras sejurus sebelum rehat.

Dia melepasi kawalan Marc Bartra di luar kotak penalti dan merembat kencang ke penjuru kanan gawang tanpa dapat diselamatkan penjaga gol Pau Lopez.

Tiga minit selepas rehat, Guedes melebarkan kedudukan juga menerusi cara sama sebelum Giovani Lo Celso mengurangkan defisit melalui sepakan penalti ketika perlawanan berbaki 13 minit.

Mereka gagal mencari gol penyamaan sekali gus kekal di tangga ke-9 dengan 43 mata.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 7:59am
d