arena

Tahan sakit demi emas

Oleh Ferzalfie Fauzi

JAGUH renang negara, Welson Sim menamatkan saingan di hari terakhir Terbuka Malaysia dengan meraih emas keempat dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki.

Dia yang mewakili Sarawak berjaya mencatat masa 16 minit 8.9 saat untuk mengetepikan Sebastian Soon (Kuala Lumpur) di tempat kedua yang merakam masa 16:39.95s.

Menurut Welson, walaupun dia berjaya meraih emas tapi pada satu ketika dia bergelut dengan ketegangan di bahagian bahu kiri.

“Selepas 500 atau 600 meter saya merasai kesakitan di bahagian bahu namun saya meneruskan renangan seperti biasa,” katanya yang meraih tiga lagi emas dalam acara 100, 200 dan 400m.

Pingat gangsa dalam acara berkenaan diraih Jayden Tan dari Selangor (16:39.95s).

Kesakitan di bahagian bahu kiri itu jelas sekali mengganggu rentak Welson apabila dalam acara kedua hari ini, 50m gaya bebas dia hanya meraih gangsa.

Welson yang menyertai Sukan Olimpik Rio 2016 mencatat masa 23.72s, manakala emas dalam acara berkenaan diraih Benyamin Gharehhassanloo dari Iran (23.40s) dan perak milik Roy Neel (India) dengan catatan 23.46s.

“Aksi saya dalam 50m gaya bebas kurang baik kerana selepas menyertai acara 1,500m badan saya sudah kepenatan dan memang saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk acara kedua.

“Saya sebenarnya gembira dengan pencapaian 200 dan 400m gaya bebas di kejohanan ini walaupun kepenatan selepas menyertai 100m sehari sebelum itu,” kata perenang berusia 22 tahun itu.

Welson selepas ini akan menumpukan perhatian kepada Terbuka Singapura kerana masih belum layak secara automatik ke Kejohanan Dunia walaupun memecah rekod kebangsaan 100m gaya bebas 49.54s dua hari lalu.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 8:57pm
d