rap

Rezeki anak kedua Shuk

Oleh Norhayati Nordin

“SAYA anggap kemenangan ini sebagai rezeki anak kedua yang akan lahir pada Julai nanti.

“Kini, isteri saya hamil enam bulan dan kami mungkin akan dikurniakan seorang lagi anak perempuan,” kata pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar.

Terdahulu, Shuk, 33, dinobatkan juara Super Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi dan memenangi hadiah wang tunai RM 100, 000.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohammed Sahar mengetengahkan sketsa drama Nur 2 yang popular di TV3 baru-baru ini

Membawakan watak Ustaz Adam dalam persembahan komedinya, Shuk berganding dengan Jihan Muse sebagai Nur serta Azhan Rani yang popular dengan watak Ustaz Syed Hamadi.

Mengulas dirinya yang dilabel sebagai ‘Raja Parodi’, Shuk menerima dengan positif gelaran itu dan bersyukur.

“Sebenarnya, Jihan banyak membantu saya dalam persembahan ini. Kami banyak berkongsi idea termasuk soal jalan cerita sehinggalah pemilihan lagu untuk dinyanyikan.

“Saya sangat berterima kasih dengan Jihan, begitu juga pelakon Azhan Rani yang sudi muncul dalam sketsa komedi ini,” katanya.

Kemenangan Shuk itu sekali gus mengetepikan empat pelawak lain iaitu Achey atau Nasir Hamzah, 33, Sharif Kadir Doli Shatif (Sharif, 29), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh, 34) dan Mohd Azwan Sabri (Chiwan, 33).

Program BBB 2019 disiarkan selama lapan minggu di TV3 dengan kesemua peserta bertanding kali ini pernah menang RM10,000 setiap minggu.

Achey yang turut diramal juara sebelum ini, pernah menang sebagai juara mingguan sebanyak tiga kali ini dan membawa pulang RM30,000.

Sehubungan itu, persembahan peserta program BBB 2019 setiap minggu dinilai juri tetap iaitu pelakon Saiful Apek dan penyanyi Mark Adam.

Manakala, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein atau mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom bertindak sebagai pengacara.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 1:16am
d