arena

Rekrut baharu

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya mungkin lebih ‘meriah’ selepas ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan terdapat ejen yang akan memperkenalkan lima pemain kacukan kepada badan induk itu.

Tanpa mahu mendedahkan identiti kelima-lima pemain terbabit, FAM berkata, semua mereka sedang mengatur aksi bersama pasukan di beberapa liga luar negara.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam apabila beliau menerima maklum balas daripada seorang ejen mengenai perkara terbabit sekali gus menarik minat badan induk berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi memperkuatkan lagi skuad kebangsaan.

Beliau berkata, setakat ini, beliau belum menerima butiran mengenai pemain berkenaan dan perjumpaan khas akan diadakan bersama ejen terbabit.

“Saya dihubungi ramai ejen terutama ketika menjelang jendela kedua perpindahan pemain, namun tidak mengendahkannya.

“Namun, hanya seorang ejen saja saya memberikan maklum balas untuk bertemu kerana beliau mahu memperkenalkan lima pemain kacukan yang kini beraksi di luar negara.

“Perkara itu boleh dipertimbangkan kerana membabitkan barisan pemain kebangsaan namun perlu mengadakan pertemuan bagi mengesahkan jika maklumat terbabit benar atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia Asian (WFS Asia), semalam.

Sebelum itu, tular berita mengenai pemain kacukan England-Malaysia, Jamie Qureshi, 16, yang kini beraksi untuk skuad B-16 Brighton dan Hove Albion FC.

Pemain berkenaan juga pernah mewakili skuad B-15 England, sekali gus mampu memberi impak kepada Harimau Malaya pada masa akan datang.

Selain Jamie, pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal turut berpotensi untuk diserapkan ke pasukan Harimau Malaya dan pemain Swope Park Rangers itu pernah meluahkan hasrat untuk beraksi bersama dua pemain muda negara iaitu bekas pemain Kedah, Akhyar Rashid dan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 8:00am
d