mutakhir

'Akuarium' pelacur terbongkar

Oleh Norizuan Shamsuddin

PAMER wanita warga asing di sebalik cermin kaca seperti ‘akuarium’ untuk dipilih pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat urutan dan menempiaskan nafsu.

Itu tarikan diberikan pusat urut di Taman Bukit Mayang, Petaling Jaya, bagi menarik pelanggan untuk memilih wanita yang diidamkan bagi mendapatkan urutan manja wanita warga asing disediakan di premis berkenaan.

Malah, pusat urut terbabit dikesan turut menyediakan khidmat urutan batin termasuk seks untuk lelaki hidung belang menempiaskan nafsu.

Bagaimanapun, kegiatan terbabit terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Dalam serbuan 12.30 tengah malam itu, pasukan D7 IPK Selangor menahan 25 individu termasuk wanita warga asing disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, dua pegawai dan 10 anggota dikerahkan bagi melakukan serbuan di pusat urut terbabit.

Katanya, serbuan dilakukan selepas risikan mendapati premis berkenaan menggajikan wanita warga asing dan disyaki turut terbabit dalam kegiatan pelacuran.

“Hasil serbuan, kami menahan 11 wanita warga asing membabitkan lapan warga Vietnam dan tiga warga Thailand disyaki bekerja di premis berkenaan.

“Kita turut menahan dua penjaga premis dan 12 pelanggan lelaki di pusat urut berkenaan.

“Siasatan awal mendapati premis terbabit aktif dalam aktiviti pelacuran sejak dua minggu lalu dan turut menyediakan pakej urutan batin serta badan ke badan (B2B) dengan harga bermula RM150 bagi satu sesi,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut Azmi, semakan dilakukan mendapati wanita warga asing terbabit tidak mempunyai permit kerja yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Susulan itu, kami merampas empat tuala, minyak urut, jadual kerja dan wang tunai RM2,660.

“Kesemua suspek berusia 25 hingga 35 tahun terbabit ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Keterangan Gambar

AZMI memeriksa wanita warga asing bekerja di pusat urut berkenaan yang disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran.

Tamat////

Pix Norizuan Shamsuddin.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 8:24am
d