mutakhir

Sultanah Terengganu mohon keputusan, tanpa bicara

Oleh Murni Wan Omar

SULTANAH Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk memutuskan kes saman fitnahnya terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown serta dua lagi, secara penghakiman terus tanpa perbicaraan.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata demikian ketika ditemui selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

“Permohonan itu dibuat mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi pada 13 Mei lalu bagi memohon mahkamah memutuskan sama ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Clare adalah fitnah atau sebaliknya.

“Semua fakta sudah dinyatakan dalam afidavit dan mengikut asas undang-undang, hakim mempunyai budi bicara untuk tentukan sama ada kenyataan yang dibuat defendan pertama (Clare) mempunyai unsur fitnah atau tidak,” katanya.

Menurutnya, jika permohonan itu dibenarkan plaintif tidak perlu memberi keterangan dan beban pembuktian terletak kepada defendan.

Tambah beliau lagi, mahkamah sudah menetapkan 17 Jun depan bagi pengurusan kes.

Berdasarkan writ saman, Sultanah Nur Zahirah sebagai plaintif memfailkan saman dengan menamakan Clare, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan.

Ia berhubung kenyataan fitnah terhadap Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu TIA serta menolong Jho Low bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA serta terbabit dalam amalan rasuah.

Ia adalah fitnah kerana Sultanah Nur Zahirah mendakwa tidak pernah membabitkan diri dengan urusan atau pentadbiran kerajaan atau penubuhan TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa akibat fitnah itu ia memalukan dan menjatuhkan reputasinya dalam pandangan masyarakat

Oleh itu, Sultanah Nur Zahirah menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am daripada ketiga-tiga defendan,

Plaintif juga menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah daripada penjualan dan pengedaran.

Selain akujanji defendan kedua untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut dalam apa jua keadaan.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 1:44pm
d