mutakhir

Menyamar pantau kesalahan pemandu bas ekspres

Oleh Zaid Salim

SERAMAI 26 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melaksanakan tugas penyamaran bagi mengesan pemandu bas ekspres yang melakukan kesalahan ketika memandu sepanjang musim perayaan.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, anggota yang menyamar sebagai penumpang itu akan menjalankan tugas sepanjang perjalanan sehingga ke destinasi terakhir bermula bermula hari ini hingga 13 Jun depan.

“Dalam tempoh operasi itu, seramai empat anggota akan melakukan tugas penyamaran setiap hari ke dua destinasi berbeza pergi dan balik,” katanya pada sidang media sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Terengganu, Mir Khairul Hafizal Mir Idris; Penolong Pengarah Risikan dan Operasi JPJ Terengganu, Nazrey Hamzah dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Rokiah Mohamad.

Zulkarnain berkata, kaedah penyamaran terbukti dapat mendisiplinkan pemandu bas ekspres apabila kes berkaitan kesalahan yang kerap dilakukan pemandu seperti menggunakan telefon bimbit dan merokok semakin berkurangan.

“Ia juga bertujuan mengelak berlaku kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berkenaan yang biasanya mengakibatkan ramai mangsa maut atau cedera.

“Selain penyamaran, kita turut melakukan rondaan termasuk di lebuh raya dan seramai 270 anggota membabitkan 20 pegawai terbabit sepanjang operasi ini.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, ada 10 syarikat bas ekspres dengan tujuh daripadanya berdaftar di negeri ini beroperasi ke semua destinasi timur, utara dan pantai barat

“Bermula Ramadan, kita sudah membuat semakan terhadap 135 bas dan seramai 254 pemandu dengan dua syarikat bas ekspres dan tiga pemandu dikesan memilik saman tertunggak,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 12:40am
d