mutakhir

Tiada keraguan

Oleh Mahaizura Abd Malik

FORMULA hitungan dan instrumen digunakan jabatan mufti dalam penentuan arah kiblat di negeri masing-masing disahkan tepat.

Pensyarah Kanan Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM), Dr Nurulhuda Ahmad Zaki yang menjalankan kajian mengenai hitungan arah kiblat ini membuktikannya menerusi kajian penyelidikan beliau.

“Bukan semata-mata guna alat dan kaedah pengiraan, tetapi sekarang kita semak untuk pastikan arah kiblat itu tepat dengan menggunakan kaedah dipelopori Nasir Al-Din Al-Tusi iaitu Istiwa’ A’dzham yang digunakan sejak tamadun Islam abad ke-14 lagi.

“Peristiwa Istiwa’ A’dzham berlaku dua kali setahun dimanfaatkan untuk menyemak kedudukan bayang matahari sama atau tidak dengan data daripada penggunaan alat teodolit dan kaedah formula digunakan.

“Jadi tidak boleh sangkal lagi, kita yakin 100 peratus kiraan berdasarkan formula dan alat itu tepat kerana ia dibuktikan dengan keselarian bayang Istiwa’,” katanya.

Menurutnya, sebelum mencari kedudukan arah kiblat, kaedah pengiraan formula Sfera Trigonometri digunakan bagi menentukan azimut kiblat dunia.

“Malaysia berada di sukuan keempat (360 darjah) pada glob bumi, malah Indonesia juga menggunakan kaedah sama kerana kedudukan sukuan sama.

“Dengan formula ini, kita dapat nilai azimut kiblat Malaysia yang ditetapkan antara 290 hingga 293 darjah berbeza mengikut tempat masing-masing.

“Seterusnya menggunakan teodolit, matahari dicerap sebelum arah kiblat mengikut sesuatu koordinat tempat diperolehi,” katanya.

Berbeza dengan kompas atau alat ukuran tradisional, bacaan dipaparkan teodolit lebih tepat kerana memiliki ketepatan 1 arka minit.

“Ahli falak zaman dahulu membuat kiraan arah kiblat menggunakan rubu’ mujayyab (sukuan sinus).

“Pada abad ke-18, ulama kita di Malaysia mula menggunakan alat pengukur sudut dan waktu yang mengandungi grid trigonometri sejagat ini serta 22 langkah pengiraan.

“Namun, permasalahan apabila menggunakan alat ini ialah perlu ketelitian dan kemahiran sangat tinggi kerana pengguna mudah terdedah dengan ralat paralaks (ralat mata kasar),” katanya.

Dari segi hukum, Dr Nurulhuda menjelaskan, uruf umat Islam di Malaysia adalah mengikut pendapat Imam Syafie.

“Takrifan kiblat adalah arah daripada lokasi kita hendak solat pergi ke arah menghadap Kaabah. Jadi, tugas kita bagaimana hendak dapatkan kedudukan arah itu dengan bersandarkan ilmu falak secara lebih tepat.

“Mengikut Imam Syafie, disebabkan kita berada di luar Makkah, maka kita bukan perlu betul-betul perlu menghadap fizikal Kaabah.

“Bagi penduduk yang berada luar serta jauh dari Makkah maka wajib bagi umat Islam itu menghadap ain Kaabah secara dzanni berbanding mereka yang berada dalam kawasan Makkah wajib menghadap arah Kaabah dengan yakin sama ada dengan sentuhan atau melihat,” katanya.

Memperincikan penjelasan itu, katanya umat Islam seperti di Malaysia, tidak perlu menghadap secara fizikal Kaabah secara yakin, tetapi cukup menghadap arahnya saja.

“Jika kita tertakluk di bawah hukum menghadap ain Kaabah (fizikal Kaabah) secara yakin, bayangkan jika kita tersilap sedikit saja arah kiblat maka tentu solat tidak sah.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 4:30am
d