mutakhir

Tuntutan palsu RM720,000- penolong jurutera, kontraktor direman [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong jurutera dan kontraktor untuk membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja membaik pulih sungai, tahun lalu.

Kedua-dua suspek berusia 58 dan 57 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Ipoh, antara 7.20 hingga 8.20 malam tadi.

Difahamkan, SPRM turut menahan dua lagi lelaki dipercayai terbabit dalam kes itu namun tidak direman dan dibebaskan dengan jaminan.

Suspek terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, 11.30 pagi hari ini sebelum Majistret, Nurul Hafizah Mohammad Pauzi membenarkan kedua-dua mereka direman selama enam hari.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek iaitu penolong jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah dan kontraktor berkenaan dipercayai terbabit mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja membaik pulih sungai oleh JPS.

“Mereka dipercayai terbabit dengan tuntutan mengandungi butiran palsu bagi kerja baik pulih sungai membabitkan empat sebut harga berjumlah RM720,000 tahun lalu.

“Namun, tiada sebarang kerja fizikal membaikpulih di tebing sungai dibuat di tapak sehingga hari ini dan bayaran penuh kerja sudah dibuat.

“Kontraktor yang dipercayai kroni kepada pegawai dan kakitangan JPS Perak Tengah itu juga sudah menerima bayaran,” katanya.

Menurut sumber, mereka dipercayai berpakat membuat tuntutan palsu itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan penahanan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 1:09pm
d