arena

JDT kukuh cengkaman persada liga

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir menjulang kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Dengan kemenangan itu, JDT kini mengumpul 43 mata dan perlu menang baki dua perlawanan di gelanggang lawan menentang Melaka United, Rabu ini dan Perak pada 7 Julai depan bagi mengesahkan kejuaraan liga.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-10 selepas bola umpanan ke belakang Diogo Santo membolehkan Gonzalo Cabrera merembat kencang dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Dua minit kemudian, Harimau Selatan menyentap semangat Red Giants apabila Leandro Velazquez yang tidak dikawal di sayap kiri bertindak merembat bola leret untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.

Empat minit sebelum rehat, Khyril Muhymeen Zambri merapatkan jurang gol apabila menghasilkan jaringan menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Farizal Marlias.

Tuan rumah lebih garang selepas rehat dan hampir mencipta gol selepas sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-46 ditanduk kemas Diogo namun tiang gol menjadi penghalang.

Usaha berterusan JDT untuk menambah jaringan membuahkan hasil pada minit ke-61 apabila bola lorongan Velazquez membuka ruang buat Safawi yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum menolak bola leret menewaskan Khairul Azhan.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-76 selepas K Sarkunan dilayangkan kad merah oleh pengadil Fairuzi Desa apabila pemain itu dengan sengaja menendang bola tepat ke arah pengadil.

Dua minit sebelum tamat, pelawat berjaya meraih sepakan penalti dan pemain gantian Sandro Da Silva menyempurnakannya sekalipun ia tidak mampu mengubah nasib skuad kendalian B Sathianathan yang terpaksa akur tewas 2-3.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 11:11pm
d