santai

Kenali negeri Cik Siti Wan Kembang [METROTV]

Oleh Aniza Zainudin

SEBUT saja Kelantan, perkara pertama terlintas di fikiran adalah variasi makanan tradisional lazat dan keunikan budaya warisan yang masih dikekalkan masyarakat setempat.

Berkunjung ke Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Darul Naim ini, pastinya memberi pengalaman dan pengetahuan berbeza sekiranya masa yang ada diperuntukkan sebaik-baiknya.

Berikut antara lokasi menarik dan popular untuk dikunjungi sekiranya berpeluang bercuti ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini:

Rumah Api Pantai Senok

Lokasi ini menjadi tular beberapa tahun kebelakangan ini kerana keindahan dan keistimewaan susunan pokok ru yang menarik.

Menjadi antara lokasi wajib di kunjungi bukan saja bagi pencinta pantai, bahkan mereka yang gemar berkongsi gambar di laman sosial gara-gara kecantikannya diinspirasikan daripada Pulau Nami, Korea Selatan.

Sering menjadi pilihan pasangan raja sehari mengabadikan momen indah dengan persalinan elegan. Malah tarikannya turut dipengaruhi pantainya yang berteluk dan berbatu berlatarkan lautan kebiruan.

Menerusi tempoh perjalanan kira-kira 30 minit dengan jarak 15 kilometer dari ibu negeri, Pantai Senok wajar dikunjungi bagi menikmati keindahan Laut China Selatan.

Muzium Negeri Kelantan

Terletak di Jalan Hospital, Kota Bharu, kunjungan ke Muzium Negeri Kelantan sangat disarankan kerana ia memberi peluang kepada pelancong mengenali gaya hidup dan budaya masyarakat setempat.

Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, muzium ini menyajikan pelbagai jenis artifak bersejarah dan paling unik koleksi barang kesenian tempatan seperti wayang kulit, dikir barat, makyung, menora serta gasing.

Muzium Perang Bank Kerapu

Struktur muzium ini berasal daripada Bank Kerapu dibina Mercantile Bank pada 1912 di atas tanah milik ketua tempatan, Nik Yusof.

Ketika Perang Pasifik pada 1941, tentera Jepun mendarat di Kota Bharu dan Bank Kerapu dijadikan balai polis rahsia bagi koordinasi perang oleh penjajah itu.

Sebaik tamat zaman penjajahan Jepun, ia kembali berfungsi sebagai bank hingga 1991 sebelum dijadikan muzium peringatan perang oleh Perbadanan Muzium Kelantan.

Sekiranya pelancong ingin mendalami sejarah, muzium ini menempatkan lebih daripada 1,000 artifak berkaitan perang serta peralatan Jepun.

Kota Sultan Ismail Petra

Kota ini menjadi mercu tanda dan pusat tumpuan pelancong yang datang ke Kota Bharu. Tersergam indah dengan ukiran dan tulisan khat menarik, Kota Sultan Ismail Petra ini berdekatan Kampung Kraftangan dan Masjid Muhammadi. Tarikan utama kota ini pastinya pintu gerbang besar atau Menara Rehal dan juga Istana Balai Besar.

Istana Jahar

Dibina menggunakan kayu cengal tanpa paku mahupun skru, Istana Jahar atau Muzium Adat Istiadat ini perlu dikunjungi bukan saja kerana pengisiannya tetapi keunikan seni bina.

Istana ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886) sejurus pembukaan bandar Kota Bharu dan pembinaan Istana Balai Besar.

Mempamerkan variasi artifak bersejarah Kelantan, destinasi ini turut menampilkan adat istiadat diraja termasuk adat pertunangan, perkahwinan, melenggang perut dan adat pijak tanah.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 11:13am
d