mutakhir

PDRM umum pertukaran 26 pegawai kanan

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 26 pegawai kanannya berkuat kuasa 22 Julai ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad menerusi satu kenyataan hari ini berkata, antara pegawai kanan yang tersenarai dalam arahan pertukaran itu adalah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohamed Farid Abu Hassan yang bertukar ke Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman.

Katanya, Ketua Penolong Pengarah (Pengangkutan) Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Mohd Hishamudin Tahar pula dilantik sebagai Komander Pasukan Pergerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP)

“Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Datuk Mohamad Mat Yusop dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat DCP.

“Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Datuk Kasuahdi Ali bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

“Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Cheras, Selangor bertukar ke Komander Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ulu Kinta, Perak,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 10:06pm
d