mutakhir

Peminat pinggan mangkuk diraja

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

WANG boleh dicari, tetapi kepuasan memiliki barangan disukai bukan mudah dinikmati.

Itu pandangan pengumpul tegar pinggan mangkuk seramik.

Sebab itu, ada yang sanggup membelanjakan sejumlah besar wang semata-mata memiliki barangan diidamkan.

Tidak terkecuali Azlan Ahmad, 57, yang membelanjakan RM100,000 demi membeli pelbagai koleksi pinggan mangkuk seramik termasuk jenama terkenal dari England iaitu Royal Albert.

Menurutnya, ia koleksi paling berharga dimilikinya iaitu keluaran siri Old Country Rosses yang dikumpulnya lebih 20 tahun lalu.

“Saya meminati pinggan mangkuk jenama ini kerana tertarik dengan kecantikan corak dan hiasan pada barangan ini.

“Ia (pinggan mangkuk) unik, tambahan pula kombinasi warna keemasan menyerlahkan lagi ciri kemewahannya,” katanya.

Katanya, kebanyakan koleksi dimiliki berusia lebih 30 tahun yang dikategorikan sebagai barangan vintage.

Harga pasaran semakin meningkat berbanding koleksi pinggan mangkuk dari negara lain.

“Saya beli barang ini daripada penjual atas talian dalam jumlah banyak bagi mendapatkan harga murah.

“Saya tidak kisah jual koleksi pinggan mangkuk pada harga lebih rendah berbanding ketika membelinya kerana sudah menikmati kepuasan memilikinya.

“Wang hasil jualan sebahagiannya disimpan dan ada yang digunakan untuk membeli koleksi baru,” katanya.

Azlan berkata, ramai peminat pinggan mangkuk dan mereka terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Pengumpul selalu mengunjungi kedai saya di pusat beli-belah Amcorp Mall untuk membeli koleksi ini.

“Saya menjual pinggan mangkuk ini tahun lalu selepas berhenti menjual koleksi syiling lama berikutan permintaan terhadapnya menurun sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 4:30am
d