arena

Mexico, Kanada tiada tandingan

Oleh AFP

MEXICO mengalahkan Martinique 3-2 awal pagi tadi untuk layak ke suku akhir Piala Emas Concacaf sebagai juara Kumpulan A di depan Kanada.

Kanada mara selepas membelasah Cuba 7-0, dicetus oleh hatrik Lucas Cavallini dan penyerang berusia 19 tahun, Jonathan David pada perlawanan terdahulu di Stadium Bank of America, Charlotte.

Pilihan utama Mexico diuji oleh Martinique dalam laluan meraih kemenangan yang menyaksikan mereka melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan memenangi semua tiga perlawanan.

Uriel Antuna meletakkan Mexico di depan pada minit ke-29 dan mereka kelihatan selesa sebelum Kevin Parsemain melencongkan satu sepakan percuma mengagumkan pada minit ke-56 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Gol daripada Raul Jimenez dan Fernando Navarro kembali menyaksikan Mexico mendahului dan tandukan Jordy Delem sudah terlewat buat Martinique untuk bangkit.

Mexico mengekalkan rekod sempurna dengan tujuh kemenangan di bawah kendalian jurulatih dari Argentina, Gerardo Martino.

Mexico, yang memburu kejuaraan kelapan pada kejohanan serantau Caribbean, Amerika Utara dan Tengah, akan berdepan naib juara Kumpulan B pada suku akhir – sama ada Costa Rica atau Haiti.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 12:37pm
d