itmetro

Penuh pemain perisian penggodam

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JIKA menyentuh dunia sukan elektronik, pastinya semua pemain mahukan bentuk permainan yang kompetitif tanpa ada sebarang penggunaan aplikasi godaman (cheat engine) yang mampu mengganggu keseimbangan permainan.

Permainan berbayar jarang mengalami masalah berkenaan memandangkan pembangun akan menggunakan pelbagai aplikasi atau perisian saringan untuk menyekat penggunaan perisian pihak ketiga yang digunakan untuk menggodam data permainan.

Perisian seperti BattleEye yang digunakan Ubisoft dalam beberapa siri permainan kompetitif keluarannya mampu untuk menyekat perisian pihak ketiga termasuk kemas kini keselamatan yang kerap dilaksanakan.

Namun, jika permainan itu berbentuk percuma, wujud masalah yang sangat besar iaitu kebanyakan pemain akan menggunakan perisian berkenaan memandangkan pembangun sesuatu judul tidak bersedia untuk menggunakan sistem cegahan berbayar.

Begitu juga yang dialami oleh fenomena permainan konsep ‘Pertempuran beramai-ramai’ atau ‘Battle Royale’, Apex Legends apabila permainan berkenaan dipenuhi pemain yang menggunakan perisian penggodam.

Ia secara tidak langsung menghilangkan minat pemain yang bersungguh-sungguh bermain secara adil dan mendaki kedudukan (ranking).

Puluhan ribu pemain Apex Legends bulan lalu mengemukakan aduan terhadap pembangunnya iaitu Respawn Entertainment berhubung permainan itu sudah dicemari pemain yang menggunakan aplikasi pihak ketiga.

Hasil aduan berkenaan, Respawn Entertainment sudah melaksanakan saringan akaun pemain dan seramai 16,000 pemain yang menggunakan aplikasi godaman sudah dihalang.

Sejak Apex Legends dilancarkan 5 Februari lalu, seramai 770,000 akaun pemain sudah dilupuskan kerana didapati menggunakan perisian pihak ketiga yang bertujuan mengganggu ekosistem permainan itu.

Selain itu, Respawn Entertainment juga sudah menghalang 300,000 cubaan untuk mencipta akaun baru memandangkan wujud data yang menunjukkan ia adalah percubaan daripada pemain sama yang menggunakan perisian pihak ketiga.

Kejayaan Respawn Entertainment berkenaan memberikan nafas baru buat judul Apex Legends memandangkan kebanyakan pemain akan meninggalkan sesuatu permainan jika didapati ia dipenuhi dengan sistem permainan yang tidak

adil.

Sebelum ini, permainan itu mencipta fenomena apabila dalam tempoh tujuh hari dilaksanakan sudah mencapai jumlah pemain seramai 25 juta.

Permainan itu yang dibangunkan Respawn Entertainment dan diterbitkan syarikat gergasi permainan video, Electronic Arts (EA) boleh didapati secara percuma menerusi tiga platform utama iaitu desktop, Playstation 4 dan XBOX.

Sebelum ini, dua judul permainan yang menjadi peneraju kepada konsep permainan pertempuran ramai-ramai (Battle royale) iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Fortnite.

Kini, dua judul permainan itu sudah mendapat saingan sebenar apabila Apex Legends mencatatkan jumlah pemain antara paling ramai dan permainan itu boleh dimuat turun secara percuma.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 9:27am
d