mutakhir

Kilang bahan kimia pula terbakar

Oleh Siraj Mohd Zaini

KILANG bahan kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah, Klang terbakar kira-kira 7 malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas, Sungai Pinang, Telok Panglima Garang, Rawang dan Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran itu daripada merebak ke premis bersebelahan.

"Sehingga kini, kebakaran membabitkan 80 peratus daripada keseluruhan kilang.

"Tiada mangsa dilaporkan terbabit dengan kebakaran ini," katanya.

Sebelum ini, kilang memproses racun rumpai terletak berhampiran turut musnah dalam kebakaran pada 5 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, tujuh anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran berkenaan.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 9:47pm
d