arena

Pescao hormati kontrak Tech 3

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah belum lagi memikirkan mengenai masa depan selepas kontraknya bersama Red Bull KTM Tech 3 berakhir musim ini.

Hafizh yang memasuki tahun kedua di kelas perdana itu berkata, dia perlu menghormati kontrak bersama pasukannya ketika ini dengan memberi fokus pada baki pusingan Kejohanan Motosikal Dunia selepas ini.

“Buat masa sekarang saya tak mahu komen apa-apa.

“Sebab saya masih ada kontrak dengan pasukan dan mereka juga masih memerlukan saya.

“Sekali lagi saya belum ambil keputusan pasukan mana yang akan saya pergi (musim depan) dan itu saja yang boleh saya komen,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia di Kuala Lumpur, malam ini.

Perlumbaan berpestij itu akan berlangsung dari 1 hingga 3 November depan di Litar Antarabangsa Sepang.

Red Bull KTM Tech 3 sebelum ini mengumumkan akan menggunakan khidmat juara Moto3 2016, Brad Binder musim depan.

Wujud khabar angin Hafizh akan kembali ke saingan Moto2 dengan beberapa pasukan dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 9:58pm
d