arena

Brandao hancur rekod JDT

Oleh Rizar Mohd Noor

REKOD tanpa kalah juara liga enam musim berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya lebur selepas tewas mengejut 0-1 di tangan PJ City pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Ternyata kekalahan mengejut pada aksi ke-21 itu memusnahkan harapan skuad Harimau Selatan untuk berusaha menyamai pencapaian tiga musim lalu apabila muncul juara tanpa kalah.

Walaupun mendapat semula sentuhan dua tonggak, kapten Hariss Harun dan Safawi Rasid dalam kesebelasan utama selepas tidak diturunkan ketika menentang Kuala Lumpur Sabtu lalu, namun ia masih belum mampu menambah kekuatan mereka.

Malah tuan rumah tampak berdepan kesukaran untuk menembusi benteng lawan yang mengamalkan corak permainan mengawal setiap pemain JDT apabila begitu sukar untuk mencari ruang dalam usaha melakukan percubaan berbahaya.

Senario itu memaksa tuan rumah bertindak melakukan rembatan dari luar kotak penalti selepas bola sepakan Leandro Velazquez hanya sekadar melepasi palang gol pada minit ke-24 manakala pergerakan Diogo Santo dikawal rapi benteng pelawat.

PJ City memecah kebuntuan pada minit ke-64 apabila tindakan berani Washington Brandao yang tidak dikawal menyelinap masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kiri menewaskan Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Benjamin Mora menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun usaha itu tidak membuahkan hasil sebaliknya kemenangan 1-0 menyaksikan PJ City berada dalam kedudukan selesa untuk kekal dalam Liga Super.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 11:13pm
d