arena

Lampard lega pemain Chelsea mula faham

Oleh Reuters

BOS baharu Chelsea, Frank Lampard percaya mesejnya sudah mula difahami susulan kemenangan 2-1 ke atas Barcelona pada aksi persahabatan pramusim di Jepun malam tadi.

Penjaring gol terbanyak Chelsea itu, yang kembali ke kelab Liga Perdana Inggeris sebagai pengurus pada 4 Julai lalu berkata, kerja keras staf kejurulatihan dan pemainnya di padang latihan sudah mula menunjukkan hasil.

“Semuanya bagus di padang dan di luar,” kata Lampard di Saitama, utara Tokyo.

“Terutamanya hari ini, saya lihat banyak petanda daripada usaha yang kami lakukan, yang mana amat bagus buat saya. Banyak lagi perlu dilakukan tapi ia jelajah yang bagus.”

Chelsea bertindak lebih baik berbanding ketika menentang juara Jepun, Kawasaki Frontale yang menewaskan mereka 1-0 Jumaat lalu, dengan Tammy Abraham dan Ross Barkley masing-masing meledak satu gol.

Penyerang Abraham menghukum kesilapan pemain Barca, Sergio Busquets untuk membuka tirai jaringan selepas 34 minit dan pemain tengah Barkley menambah gol kedua sembilan minit sebelum tamat.

Penyerang Chelsea, Olivier Giroud dan Michy Batshuayi tampil pada babak kedua dan Lampard gembira dengan tiga pilihan dimilikinya di bahagian serangan musim ini.

“Ada saingan sihat,” katanya. “Orang sering bercakap mengenainya tapi mereka perlu menangani saingan dan membuktikan mereka boleh menjadi penyerang Chelsea. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap mereka.”

Lampard hanya mempunyai tiga penyerang susulan larangan FIFA terhadap kelab London itu daripada melakukan urusan pembelian pemain.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 1:19pm
d