utama

Terjebak hobi suami

Oleh Siti Rohana Idris

DUA ibu mengandung antara 20 peserta wanita yang menyertai pertandingan ayam sorak di Kampung Padang Lati di sini, semalam.

Kelibat Nurul Tasha Hasmadi, 25, dan Mismurni Dolah, 28, masing-masing mengandung enam dan lapan bulan bersorak di luar bon (gelanggang) mengarahkan ayam peliharaan mereka berkokok menarik perhatian pengunjung.

Nurul Tasha yang hamil anak keempat berkata, pada awal kehamilan, dia tidak dapat menyertai pertandingan kerana mengalami alahan namun selepas keadaan semakin baik, hampir setiap hari dia dan suaminya, Muhamad Azrul Azhar, 34, akan ke lokasi pertandingan di sekitar Tumpat dan Pasir Mas.

Katanya, minat menyertai pertandingan ayam sorak timbul apabila dihadiahkan ayam hutan oleh suaminya.

“Sebelum ini saya kerap mengikuti suami ke pertandingan ayam sorak, namun sekadar menemaninya.

“Tapi selepas suami beli ayam jantan dari Kedah pada Februari lalu, haiwan itu sangat jinak dan manja menyebabkan saya teringin menyertai pertandingan.

“Sejak itu kami selalu menyertai pertandingan dengan membawa dua ayam jantan dinamakan Baby dan Boy. Dalam tempoh itu puluhan kali ayam saya bergelar juara,” katanya.

Bagi Mismurni, dia menyertai pertandingan ayam sorak sebagai mengisi masa lapang ketika menemani suami, Mohd Subki Saidi, 44, yang memang menggemari acara itu.

“Bukan sahaja sekitar Kelantan, pertandingan ayam sorak juga kerap dianjurkan di Pattani (Thailand) dan kami kerap ke sana untuk memeriahkan acara.

“Biasanya tiga daripada lapan ayam hutan kami yang bertanding dan selalunya ada tersenarai sebagai pemenang,” katanya.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Wahida Jusoh, 42, berkata, pertandingan ayam sorak dianjurkan selepas menyedari wanita turut meminati acara itu.

“Atas faktor itu saya menyediakan bon khas untuk wanita yang berminat menyertai pertandingan ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 5:00am
d