mutakhir

Kilang isi tilam terbakar

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KILANG memproses isi tilam di Industri 2, Pelabuhan Darat, Segamat, terbakar dalam kejadian semalam.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Muhammad Hazim Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada 2.38 petang.

Katanya, lima anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, dua blok gudang kilang jenis kekal terbakar.

“Kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada BBP lain termasuk BBP Segamat, Labis, Bukit Gambir, Ayer Hitam dan Gemas dengan tambahan 19 anggota dengan lima lagi jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hazim berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada hampas biji sawit yang terbakar di luar bangunan sebelum merebak ke bahagian dalam kilang.

“Kita juga mengalami cabaran memadam api kerana angin kuat dan sumber air terhad.

“Proses pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki,” katanya.

Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan 70 peratus bangunan kilang termasuk mesin dalam kilang itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, punca sebenar kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 11:13am
d