mutakhir

Setem, filateli istimewa Agong laris

Oleh Amir Abd Hamid

KOLEKSI khas setem dan produk filateli sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mendapat sambutan menggalakkan peminat serta pengumpul setem untuk menambah koleksi masing-masing.

Terbitan istimewa itu mula dijual Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia), Selasa lalu.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Haidan Abdul Rahman berkata, menjangkakan koleksi berkenaan akan habis dalam tempoh seminggu.

Katanya, terdapat tiga rekaan setem peringatan dikeluarkan membabitkan 300,000 keping bagi setiap rekaan dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1 yang memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpakaian rasmi Seri Paduka.

Malah, setem itu yang terlaris dijual setakat ini.

“Setem 80 sen menampilkan Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Set folder lengkap dijual pada harga RM57.80, mengandungi tiga helai lembaran setem, brosur maklumat, Lembaran Mini, (Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dengan setem, FDC dengan Lembaran Mini dan Folder.

“Kebanyakannya habis terjual di beberapa pejabat pos terpilih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Filateli Malaysia, Datuk Anuar Bashah Mohd Sohore berkata, pengumpul setem teruja untuk memiliki koleksi itu kerana bersejarah disebabkan pertama kali mendapat sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong.

Katanya, pembabitan langsung Tunku Azizah menjadikan keluaran lebih istimewa kerana baginda memberi perhatian khusus dalam penghasilan siri berkenaan dan beri panduan jelas selain sangat teliti.

“Selain itu, keluarga diraja sememangnya ada peminat antarabangsa dan keseluruhannya setiap raja ada peminat dan senario ini merangkumi global.

“Permintaan mengenai koleksi khas berkaitan raja memang biasanya tinggi, khususnya peminat luar negara. Pesanan untuk mendapatkan koleksi berkenaan dari luar negara memang banyak.

“Malah, 50 peratus daripada 5,000 keahlian Persatuan Filateli Malaysia adalah ahli luar negara terutamanya dari England yang memiliki Malayan Stamp Club sejak sebelum Malaysia merdeka,” katanya.

Selain setem, peminat juga boleh mendapatkan Lembaran Mini pada harga RM5 yang memaparkan imej Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Teknik percetakan dakwat emas khas digunakan pada setem dan Lembaran Mini yang menghasilkan efek cetakan timbul pada produk filateli itu.

Tanda pembatalan menampilkan Jata Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, tajuk siri setem dan tarikh keluaran. Seperti mana dengan pengeluaran setem khas lain, tanda pembatalan hanya tersedia untuk tujuan mengecap pada hari keluaran.

Pos Malaysia dalam kenyataannya, menggalakkan orang ramai dan peminat setem untuk mendaftar sebagai ahli Akaun Deposit Pesanan Berdaftar (SODA) bagi mempermudahkan urusan mendapatkan setem keluaran terbaharu serta menikmati manfaat eksklusif yang ditawarkan kepada ahli SODA sahaja.

Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti ini boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau secara dalam talian di www.posonline.com.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi melalui telefon di 03-2267 2267 ext. 2000 atau e-mel pertanyaan anda kepada filateli@pos.com.my.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 12:22pm
d