mutakhir

Lemas selepas diserang sawan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LELAKI ditemui lemas dipercayai akibat diserang sawan ketika menangkap ikan di Empangan Timah Tasoh Bukit Manik, Beseri, malam tadi.

Mangsa, Fazli Aziz, 31, ditemui dalam keadaan tertiarap di permukaan air oleh rakannya pada jam 10.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.15 malam berhubung kejadian itu.

“Mengikut keterangan, mangsa bersama enam lagi rakannya menangkap ikan di empangan terbabit pada jam 9 malam.

“Namun, ketika mereka sedang menangkap ikan, salah seorang rakan menemui mangsa tertiarap di permukaan air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Halim berkata, mayat mangsa dibawa ke darat oleh pihak berkuasa pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Hasil pemeriksaan, tiada kesan pergelutan ditemui pada mangsa dan abangnya juga memaklumkan mangsa mempunyai sejarah serangan sawan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 12:34pm
d