arena

Benedetto sertai Marseille dari Boca

Oleh AFP

MARSEILLE mendapatkan khidmat penyerang Argentina, Dario Benedetto dari Boca Juniors dengan kontrak empat tahun, umum kelab Ligue 1 Perancis itu awal pagi tadi.

Benedetto, 29, yang melakukan lima penampilan antarabangsa sejak kali pertama pada 2017, dilaporkan menyertai kelab Perancis itu dengan harga 16 juta euro (RM75 juta).

Dia menjaringkan 39 gol dalam 63 perlawanan sepanjang tiga tahun, dua kali memenangi liga bersama kelab gergasi Argentina, Boca selepas beraksi dengan Tijuana dan Club America di Mexico serta Gimnasia, Arsenal dan Defensa di negara kelahirannya.

Selepas pertahanan Sepanyol, Alvaro Gonzalez, dia muncul pembelian kedua Andre Villas-Boas sejak pengendali dari Portugal itu mengambil alih daripada Rudi Garcia menjelang kempen musim baharu.

Kelab Velodrome itu memulakan musim baharu dengan menanti kunjungan Reims, Sabtu ini bagi musim kelima mereka tanpa aksi Liga Juara-Juara.

Dalam usaha menepati peraturan kewangan UEFA, Marseille terpaksa menjual pemain sayap Lucas Ocampos dan Clinton N’Jie selain tidak membaharui kontrak Mario Balotelli.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 10:30am
d