utama

Rahmat Aidiladha Narathiwat

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

PROGRAM Titipan Kasih Korban Harian Metro 2019 di Masjid Darulaman Kampung Lak-Ol di sini, semalam, meriah dengan kehadiran lebih 300 penduduk.

Kali pertama diadakan seumpamanya di sini, penduduk bersama sukarelawan akhbar ini dan Dapur Penyet bekerjasama bergotong-royong menjalankan ibadah korban serta kenduri rakyat.

Imam Masjid Kampung Lak-Ol, Mohd Tahir Che Sof berkata, pihaknya begitu teruja menerima kunjungan sukarelawan yang berkampung selama dua hari di sini.

Katanya, ia menjadi kenangan kepada penduduk kampung apatah lagi, ia belum pernah diadakan di kampung ini sejak dibuka lebih 60 tahun lalu.

“Saya berterima kasih banyak-banyak kepada Harian Metro dan Dapur Penyet, jauh datang dari Kuala Lumpur untuk membantu kami.

“Sumbangan seperti ini sangat bermakna kepada kami, selain kita beribadat, dapat juga membantu keluarga susah. Memang kami mengalu-alukan program seperti ini,” katanya.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein, Pengarah Operasi Dapur Penyet Hasfizullah Mokhtar dan Pengerusi Penganjur Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2019 Husain Jahit.

Sebanyak lapan lembu disembelih dalam program berkenaan selain bantuan kepada keluarga memerlukan.

Sementara itu, Tuan Asri berkata, pihaknya menghargai sambutan hangat diberikan penduduk kampung serta kagum dengan kerjasama begitu baik yang ditunjukkan.

Katanya, ia juga memberikan pengalaman kepada sukarelawan Harian Metro mengenai kehidupan sebenar masyarakat di negara lain.

“Kami berharap bantuan diberikan sedikit sebanyak membantu mereka di sini dan saya harap selepas ini ada pihak lain juga yang sudi memberikan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Syukur bantuan daging korban

Penerima bantuan Titipan Kasih Korban Harian Metro 2019 bersyukur dengan bantuan serta daging korban diterima dalam program itu.

Imam Masjid Waliyadin Kampung Gerong, daerah Chok Airong, Mohamad Jurig Idris berkata, mereka bersyukur dengan pemberian seekor lembu buat penduduk dan 80 keluarga anak yatim di kampung berkenaan.

“Ini kali pertama masyarakat luar dari Thailand datang memberi sumbangan kepada kami.

“Pemberian ini amat bermakna buat kami semua untuk merasai nikmat Aidiladha dengan mengagihkan daging korban kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Katanya, kebanyakan anak yatim di sini berusia lima hingga 12 tahun sangat memerlukan sumbangan orang luar demi kebajikan mereka.

Bagi Aminah Tohir, 32, ibu kepada empat cahaya mata yang tinggal berdekatan Kampung Lak Ol, dia mengucapkan syukur kepada Allah kerana menerima sumbangan barangan keperluan untuk meneruskan hidup.

“Sebagai ibu tunggal yang berpendapatan 100 baht (RM13) sehari, saya sangat berterima kasih kepada Harian Metro dan Dapur Penyet yang memberikan sumbangan makanan ini.

“Saya memang sangat memerlukan barangan ini apabila tidak dapat menoreh getah pada musim hujan, terutama mempunyai anak yang masih kecil berusia lingkungan setahun dan tiga tahun,” katanya.

Aminah antara tiga penerima sumbangan dari rumah ke rumah yang barangan disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein bersama Pengarah Operasi Dapur Penyet Hafiszullah Mokhtar.

Kesepakatan penduduk wajar dicontohi orang ramai

Pengalaman dapat bersama-sama dalam program Titipan Kasih Korban Harian Metro 2019 sangat berharga dan tidak akan dilupakan sukarelawan Dapur Penyet.

Pengarah Operasinya, Hasfizullah Mokhtar berkata, melihat sendiri kehidupan masyarakat kampung di Narathiwat sangat mengujakan dan ia memberikan perspektif sebenar mengenai kehidupan saudara seagama.

Katanya, kesepakatan penduduk yang memastikan program sangat mengagumkan dan ia patut dicontohi orang lain.

“Kami sangat gembira dapat bersama-sama dalam program kebajikan seperti ini. Ia pengalaman yang mengujakan,” katanya.

Menurutnya, ini adalah kali pertama pihaknya mengadakan program di luar negara dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, hatinya sangat tersentuh melihat bagaimana penduduk kampung begitu mementingkan pendidikan anak-anak biarpun hidup dalam serba kekurangan.

“Kita harap sumbangan kecil daripada kakitangan Dapur Penyet ini dapat meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 6:30am
d