mutakhir

Hawa belum pulang...

Oleh Ramli Ibrahim

SEORANG datuk meluahkan kebimbangan berikutan cucunya yang berusia setahun sehingga kini tidak dibenarkan pulang ke rumah, selepas tiga bulan dirawat di hospital akibat demam campak.

Penduduk Orang Asli suku Batek, Halim Manis, 50, berkata cucunya, Hawa Jusoh menghidap demam campak sejak Jun lalu dan kini dirawat di Hospital Gua Musang (HGM).

Katanya, lebih menyedihkan, menantunya yang juga ibu kepada Hawa iaitu Farah Rahim, 20, meninggal dunia akibat jangkitan kuman di salur pernafasan sebelum anaknya dijangkiti demam campak.

“Penduduk kampung yang menerima rawatan di hospital sama sudah dibenarkan pulang selepas di kuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, Gua Musang, baru-baru ini.

“Namun kini tinggal cucu kami seorang belum pulang dan kami pun tak tahu keadaan sebenar kesihatan Hawa tetapi kami berharap Hawa semakin sihat,” katanya ketika di temui di Kampung Kuala Koh, dekat Gua Musang, hari ini.

Ibu Hawa antara 15 penduduk kaum itu meninggal dunia akibat wabak demam campak sejak awal Mei lalu.

Selain itu, 112 Orang Asli lagi yang dijangkiti demam campak menerima rawatan di HGM dan Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dibenarkan pulang 28 Julai lalu.

Halim berkata, Hawa masih menerima rawatan di HGM itu sambil ditemani ibu saudaranya, Bujal Rahim, 16, sejak dimasukkan ke hospital berkenaan hingga kini.

Katanya, bapa kepada cucunya itu iaitu Jusoh, 30, masuk ke hutan sejak dua minggu lalu kerana tidak tahan sedih akibat kematian isterinya.

“Kami juga tinggal seorang diri di khemah yang disediakan di atas bukit kampung ini dan kerap menitis air mata mengenang nasib cucu kami itu.

“Kami tak ada kenderaan hendak melawat cucu di HGM dan tunggu dia pulang untuk kami melepaskan kerinduan,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 1:48pm
d