arena

Van Dijk, Lucy pemain terbaik Eropah

Oleh AFP

PERTAHANAN tengah Liverpool, Virgil van Dijk memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan UEFA awal pagi tadi, mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, manakala Lucy Bronze meraih anugerah wanita.

Van Dijk dari Belanda menyerlah ketika Liverpool memenangi Piala Eropah kali keenam musim lalu dengan kemenangan 2-0 ke atas Tottenham pada final Liga Juara-Juara di Madrid.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, tanpa mereka saya tidak akan meraih apa yang saya capai hari ini,” kata Van Dijk kepada BT Sport.

“Ia satu perjalanan panjang dan ia sebahagian daripada perjalanan saya. Saya amat bangga untuk mendapat trofi ini. Pujian kepada setiap orang yang membantu saya.”

Pemain berusia 28 tahun itu muncul pertahanan pertama memenangi anugerah itu sejak diperkenalkan pada musim 2010-11.

Dia berpindah ke Liverpool dari Southampton pada Januari 2018 dengan rekod dunia bagi pertahanan ketika itu £75 juta (RM385 juta), membantu mereka layak ke final Liga Juara-Juara musim itu sebelum kalah di tangan Real Madrid.

Namun Van Dijk tonggak penting apabila Liverpool menang trofi utama pertama mereka sejak 2012 musim lalu, manakala turut mencipta rekod kelab bagi kutipan mata terbanyak semusim ketika muncul naib juara Liga Perdana Inggeris, satu mata di belakang Manchester City.

Messi dan Ronaldo meraih lima daripada lapan anugerah terdahulu antara mereka dengan Andres Iniesta (2012), Franck Ribery (2013) dan Luka Modric (2018) melengkapkan senarai pemenang.

Pemain pertahanan Lucy menang kejuaraan Liga Juara-Juara Wanita bersama Lyon sebelum membantu England layak ke separuh akhir Piala Dunia Wanita.

“Kami mengharungi musim mengagumkan, menang tiga kejuaraan,” kata Lucy mengenai penguasaan Lyon. “Saya fikir mana-mana rakan sepasukan saya patut hadir menerima anugerah hari ini.”

Lucy yang berusia 27 tahun muncul pemain Inggeris pertama memenangi anugerah pemain terbaik tahunan UEFA.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 8:16am
d