utama

Suspek bunuh suami isteri direman seminggu [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

DUA beradik warga India yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam pasangan suami isteri yang disumbat dalam beg di Shah Alam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun tiba di perkarangan mahkamah kita-kira jam 9.30 pagi dengan memakai baju lokap serta tangan bergari.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan dua beradik itu ditahan di sekitar Kota Kemuning oleh polis.

Difahamkan, mereka adalah penyewa kediaman milik mangsa di sebuah kondominium di Subang Jaya.

Mangsa yang dibunuh pasangan suami isteri, Tan Siew Mee, 52, dan Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79.

Mayat Tan ditemui Isnin lalu di dalam longkang Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, manakala mayat suaminya ditemui di longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Jarak kedua-dua mangsa ditemukan adalah kira-kira tiga kilometer.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua suspek yang ditahan menunjukkan lokasi mayat Lim yang dibuang mereka.

Menurutnya, soal siasat juga mendapati suspek membuang senjata digunakan untuk membunuh pasangan itu di lokasi berasingan.

Bedah siasat mayat Lim dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pagi ini.

Sebelum itu, Baharudin menyatakan hasil bedah siasat terhadap mayat Tan menemui 13 kesan tikaman di dada dan perut selain kelar pada leher sebelum disumbat ke dalam beg.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 11:27am
d