utama

Tetamu biadab!

Oleh Redzuan Muharam

“GERAM dan tidak sangka ada individu yang tergamak bertindak sebegitu sebelum meninggalkan majlis (perkahwinan),” kata Muhammad Faqihuddin Abu Bakar, 25.

Muhammad Faqihuddin memberi reaksi itu mengenai ciapan dimuat naiknya di Twitter, Sabtu lalu berhubung kekesalannya terhadap tindakan biadap tetamu majlis perkahwinan yang meninggalkan lampin pakai buang di pinggan.

Menerusi ciapan itu, Muhammad Faqihuddin berkongsi gambar diambilnya sebagai bukti dan sehingga kini, perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet.

Rata-rata warganet meluahkan kemarahan dan kesal mereka terhadap tindakan tetamu berkenaan yang dianggap keterlaluan.

Menceritakan kisah sebenar, Muhamad Faqihuddin berkata, lampin pakai buang itu ditemuinya ketika mengemas meja tetamu di majlis perkahwinan yang diadakan di dewan di Nilai, Negeri Sembilan.

Bagi mengelak kurang senang tetamu yang lain, Muhamad Faqihuddin tidak menunggu lama sebaliknya terus membuang lampin berkenaan di tempat yang sepatutnya.

“Saya bertugas sebagai pembantu katering pada hari berkenaan dan menemui lampin pakai buang itu ketika mengemas dan membersihkan sisa makanan tetamu yang hadir.

“Terkejut juga kerana tidak sangka ada tetamu yang sanggup membuangnya di pinggan sedangkan banyak tong sampah disediakan di dewan.

“Malah, kedudukannya meja itu juga tidak jauh daripada tandas tetapi dia (tetamu berkenaan) tanpa rasa malu membuangnya di situ berbanding di tempat yang sepatutnya.

“Nampak sangat tetamu itu pengotor dan pemalas ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Faqihuddin yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, tindakan tetamu berkenaan bukan saja boleh mengundang persepsi negatif terhadap pasangan pengantin selaku penganjur majlis tetapi turut memberi kesan kepada pengendali katering.

Disebabkan itu, dia memuat naik gambar berkenaan dengan harapan perkongsian berkenaan dapat membuka mata pengikutnya supaya tidak melakukan perkara yang sama.

“Saya tidak sangka ciapan itu akan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet hingga tular di laman sosial kerana sekadar berkongsi pengalaman dilalui pada waktu itu.

“Itu pengalaman pertama saya sepanjang bertugas sebagai pembantu katering dan benar-benar terkilan dengan tindakan tetamu berkenaan sekalipun majlis berkenaan bukan anjuran ahli keluarga sendiri.

“Diharap, perkongsian itu memberi peringatan kepada semua untuk menjaga adab dan perlakuan ketika menghadiri mana-mana majlis sebagai tanda menghormati penganjur selaku tuan rumah,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 9:55pm
d