utama

'Umpama puting beliung'

Oleh Norizuan Shamsuddin dan Zaid Salim

SEBANYAK 72 kediaman termasuk premis perniagaan mengalami kerosakan akibat hujan lebat serta ribut di empat kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, kira-kira 3 petang, hari ini.

ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejadian berlaku membabitkan Kampung Padang Jirat, Kampung Sungai Sena, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Pulau Musang.

“Kejadian ribut kuat serta hujan lebat itu menyebabkan bumbung rumah dan premis perniagaan penduduk kawasan terbabit mengalami kerosakan termasuk ada yang runtuh.

“Selain itu kejadian turut menyebabkan berlaku kes pokok tumbang, khemah dan barang-barang diterbangkan angin dan sebagainya.

“Setakat ini saya dimaklumkan 72 kediaman musnah termasuk premis perniagaan di empat kampung berkenaan,” katanya ketika melakukan melakukan lawatan di kediaman penduduk yang rosak di Kampung Pulau Musang, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha untuk membantu meringankan beban pemilik kediaman yang rosak terbabit.

“Bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri.

“Nilai kerugian dialami setiap pemilik kediaman berkenaan dianggarkan antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Salleh Md Zain, 78, ketika ditemui berkata, kejadian hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung rumah satu tingkat miliknya rosak teruk dan kediaman dimasuki air hujan.

Katanya, kejadian berlaku sewaktu dia bersama isteri dan anak sedang bersiap untuk makan di bahagian dapur di aras bawah kediaman terbabit.

“Waktu itu hujan lebat, kami sekeluarga sedang makan di bahagian dapur aras bawah dan secara tiba-tiba kedengaran bunyi bising di tingkat atas rumah dan kediaman kami dimasuki air hujan.

“Apabila saya cuba naik ke tingkat atas didapati sebahagian daripada bumbung rumah sudah tiada akibat diterbangkan angin.

“Waktu itu nampak menerusi tingkap ribut masih kuat umpama puting beliung sehingga barangan berterbangan secara berpusing-pusing.

“Kami sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan di dalam rumah daripada dibasahi hujan kerana kejadian berlaku terlalu pantassehingga hampir keseluruhan kediaman kami dimasuki air.

“Namun, kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Kejadian turut menyebabkan premis kedai makan milik, Syed Sofi Tengku Mat, 36, mengalami kerosakan dan barang-barang seperti meja serta khemah diterbangkan angin.

Menurut Syed Sofi, waktu kejadian dia bersama isteri sedang bersiap untuk memulakan perniagaan.

“Kejadian menyebabkan meja kami terbang ke atas jalan raya.

“Malah, khemah besar yang terletak di bahagian tepi kedai makan kami turut diterbangkan melintasi bumbung premis sebelum tersangkut di tiang elektrik,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 8:16pm
d