mutakhir

20 individu ditahan kes jual MyKad

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA puluh individu termasuk kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Serbuan dilakukan 19 Ogos lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian (D14) Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka berusia 32 hingga 70 tahun ditahan dalam operasi khas susulan penahanan beberapa suspek terdahulu.

Menurutnya, mereka terdiri 17 warga tempatan termasuk dua wanita, masing-masing satu lelaki dan wanita warga China serta seorang lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan membabitkan ejen, orang tengah, penganjur, pemilik kad pengenalan, sijil lahir dan pasport Malaysia palsu.

“Polis turut merampas 38 telefon bimbit, dua CPU, komputer riba (6), pasport (34), kad pengenalan (11), pendrive (19), salinan sijil kelahiran (5), salinan kad pengenalan (6) dan salinan pasport (58).

“Tiga borang permohonan kad pengenalan, buku daftar pesuruhjaya sumpah (4), beberapa dokumen JPN, kereta (6) dan wang tunai RM38,340.21 turut dirampas untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, semua 20 individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2010.

Katanya, siasatan ke atas mereka dibuat mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta SOSMA 2012.

Siasatan awal mendedahkan operasi mereka yang mana ejen sindiket akan mencari warga asing yang mahu mendapatkan taraf warganegara.

“Pegawai JPN terbabit kemudian menguruskan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

“Ketika proses kemas kini data, pegawai terbabit akan mengarahkan kakitangan JPN untuk terbabit sama dan sindiket ini mampu memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 bergantung kepada permintaan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang juga kakitangan JPN akan didakwa mengikut Seksyen 26E ATIPSOM, Seksyen 466 Kanun Keseksaan (tuduhan pilihan) dan Peraturan 25(1)(I) PPPN.

Katanya, lima suspek lain juga akan didakwa mengikut Seksyen 26E ATIPSOM manakala siasatan sedang dilakukan terhadap individu lain.

“Siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan ahli sindiket terbabit yang masih bebas,” katanya.

Katanya, terdahulu, pihak polis menahan seorang wanita warga China selepas Imigresen mengesyakinya secara salah mengemukakan dirinya sebagai warganegara Malaysia untuk memperoleh pasport pada 16 Mei lalu.

“Laporan polis dibuat mengenai perkara itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 12(1)(C) Akta Pasport 1966 namun kes terhadap suspek diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebelum dia ditahan sekali lagi pada 27 Mei lalu di bawah Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Negara (PPPN) 1990.

“Wanita itu kemudian didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Negara (PPPN) 1990, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(C) Akta Pasport 1966 sebelum dia mengaku salah terhadap semua pertuduhan terbabit.

“Pada 31 Mei lalu, JPN membuat laporan mengenai sindiket itu sebelum hasil risikan dilakukan menahan seorang lelaki warga China di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang yang membawa kepada penemuan sijil lahir, kad pengenalan, pasport Malaysia dan beberapa pasport negara asing,” katanya.

Berita berkaitan

Pegawai kerajaan jual MyKad

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 10:28pm
d