arena

PSG sedia terima kepulangan Neymar

Oleh AFP

KETIKA kemelut perpindahan semulanya ke Barcelona kini sudah berakhir, Neymar mungkin kembali beraksi dengan Paris Saint-Germain hujung minggu ini.

Pemain paling mahal di dunia itu terpaksa mengharungi musim ketiga di Ligue 1 Perancis selepas PSG dan bekas kelabnya gagal mencapai kata persetujuan mengenai perpindahan sebelum jendela ditutup pada 2 September lalu.

Neymar sejak itu tampil pada tugasan antarabangsa bersama Brazil bagi dua aksi persahabatan di Amerika Syarikat, menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi ketika seri 2-2 dengan Colombia dan masuk sebagai pemain gantian ketika kalah 0-1 di tangan Peru.

Dua aksi itu adalah penampilan pertamanya musim ini selepas pemain berusia 27 tahun itu diketepikan bagi empat aksi pertama PSG susulan ketidaktentuan mengenai masa depannya.

Jika dia cergas selepas penerbangan jauh merentas Atlantik, jurulatih Thomas Tuchel mungkin memilih untuk menurunkan Neymar bagi pertemuan menentang Strasbourg malam esok.

PSG sudah tidak mendapat khidmat Kylian Mbappe, yang mengalami kecederaan hamstring, ketika mereka bersedia memulakan kempen Liga Juara-Juara di laman sendiri bertemu Real Madrid minggu depan. Edinson Cavani turut bergelut dengan kecergasan.

Penyerang Argentina, Mauro Icardi boleh beraksi selepas menyertai mereka dari Inter Milan, namun Tuchel mungkin mengalih kepada Neymar, sekalipun pemain Brazil itu digantung perlawanan menentang Real.

“Dia tahu dia melakukan kesilapan, tapi dia tidak berniat buruk,” kata rakan sepasukan antarabangsanya Thiago Silva. “Dia seorang pemain yang menakjubkan. Saya harap dia mengharungi satu lagi musim hebat.”

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 8:06am
d