mutakhir

Jerebu: Kualiti udara Minden bertambah buruk

Oleh BERNAMA

KAWASAN Minden di Pulau Pinang menjadi lokasi terkini mencatat kualiti udara sangat tidak sihat setakat 12 tengah hari ini, menjadikan keseluruhan lapan kawasan berada dalam kategori itu.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kualiti udara di Minden bertambah buruk apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu meningkat kepada 216 berbanding 197 pada 9 pagi tadi.

Tujuh stesen lain yang turut mencatat IPU sangat tidak sihat ialah Balik Pulau (242) di Pulau Pinang; Batu Muda (202) di Kuala Lumpur; dan kawasan di Selangor melibatkan Johan Setia Klang (256), Petaling Jaya (206) dan Shah Alam (219) selain Nilai (208) di Negeri Sembilan serta Sri Aman (234) di Sarawak.

Dalam pada itu, 35 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 101 iaitu Sungai Petani (115) dan Kulim Hi-Tech (182) di Kedah; Seberang Jaya (164) serta Seberang Perai (171) di Pulau Pinang selain empat kawasan di Perak melibatkan Taiping (193), Tasek Ipoh (144), Pegoh Ipoh (131) dan Seri Manjung (195).

Kawasan lain yang mempunyai bacaan IPU tidak sihat ialah Cheras (188) di ibu negara, dan Putrajaya (196) serta tiga stesen di Selangor melibatkan Kuala Selangor (188), Klang (198) dan Banting (179).

Turut mempunyai kualiti udara tidak sihat ialah di Seremban (175) dan Port Dickson (153) di Negeri Sembilan manakala Alor Gajah (169), Bukit Rambai (141) dan Bandaraya Melaka (127) di Melaka.

Di Johor enam kawasan merekod bacaan tidak sihat melibatkan Segamat (144), Batu Pahat (116), Kluang (120), Larkin (137), Pasir Gudang (111) dan Tangkak (125), selain dua kawasan di Pahang melibatkan Temerloh (122) dan Jerantut (116).

Sembilan kawasan di Sarawak turut mencatat IPU tidak sihat iaitu ILP Miri (122), Miri (133), Samalaju (108), Bintulu (127), Mukah (143), Sibu (168), Sarikei (163), Samarahan (177) dan Kuching (187).

Sementara itu, 25 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 1:30pm
d