PnP

Kita Bayu dapat sambutan

Oleh Nabil Basaruddin

PROJEK perbandaran Kita @ Cybersouth yang dibangunkan di tanah rizab Melayu berkeluasan 256.16 hektar oleh pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad terus mendapat perhatian pembeli rumah.

Antaranya termasuklah projek Kita Bayu fasa pertama dan kedua yang menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli hartanah dengan jualan melebihi 95 peratus setakat Ogos tahun ini.

Kita Bayu dilancarkan pada November 2018 juga adalah sebahagian daripada pembangunan bertemakan ‘kemudahan gaya hidup’ serba moden dan berkomuniti di perbandaran Kita @ Cybersouth.

Secara keseluruhannya, Kita Bayu turut meliputi pembangunan daripada rumah teres, rumah bandar, pangsapuri perkhidmatan dan komersial.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS bangga menjadi pemaju bagi rakyat yang memahami keperluan pembeli rumah.

Beliau berkata, projek perbandaran terbaharu dengan harga rumah yang berpatutan turut memenuhi permintaan untuk perumahan mampu milik yang semakin meningkat.

Menurutnya, usaha LBS juga adalah seiring dalam menyokong agenda perumahan negara yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

“Kami menyaksikan perkembangan pesat di Dengkil kerana kawasan ini telah mendapat manfaat daripada pertumbuhan sosioekonomi di koridor selatan Lembah Klang.

“Pembangunan Lembah Klang kini mula beralih kepada perkembangan ke arah selatan dan Dengkil akan menjadi titik utama seterusnya bagi pembangunan hartanah.

“Perbandaran Kita @ Cybersouth adalah peluang pelaburan yang terbaik,” katanya.

Kejayaan fasa awal perbandaran itu turut mendorong pelancaran fasa baharu, Kita Harmoni merangkumi 674 unit rumah teres dua tingkat berukuran 20’ x 65’ bermula daripada RM565,000.

Dengan harga berpatutan, ketersambungan yang baik serta persekitaran mampan yang menggalakkan hubungan kekeluargaan, Kita Harmoni dijangka menerima sambutan luar biasa.

Sebagai menyokong usaha kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik, LBS memperkenalkan Kita Impian di perbandaran sama menawarkan 964 unit pangsapuri servis berharga RM250,000 dengan keluasan binaan 551 dan 901 kaki persegi.

Lim berkata, perbandaran itu juga mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui Lebuhraya Elite, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Selatan Lembah Klang (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Jalan Dengkil-Banting.

Katanya, Kita @ Cybersouth itu juga berdekatan dengan fasiliti awam seperti sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan antarabangsa.

Antaranya adalah seperti Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya, Universiti Heriot-Watt Malaysia, Universiti Limkokwing dan Universiti Xiamen.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 5:30am
d