arena

Red Devils harap Lingard bangkit

Oleh AFP

JESSE Lingard dilaporkan semakin hampir menandatangani kontrak baharu di Manchester United namun pemain tengah itu bergelut dengan prestasi di kelab yang terdesak mahukan penyerangnya bertindak labih bagus.

Pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer memulakan musim dengan bergaya, membenam Chelsea 4-0 di Old Trafford namun gagal menjaringkan lebih daripada satu gol dalam setiap lima perlawanan berikutnya.

Mereka berkunjung ke West Ham pada perlawanan menyulitkan malam esok menjelang aksi besar Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal dan Liverpool bulan depan.

Pemergian Romelu Lukaku ke Itali meninggalkan Solskjaer pilihan terhad di bahagian serangan dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial dijangka mengisi kekosongan itu.

Pemain sayap baharu Daniel James sudah memukau, menjaringkan tiga gol, namun hingga gol kemenangan Mason Greenwood menentang Astana dalam Liga Europa awal pagi semalam, hanya tiga pemain itu yang menjaringkan gol United setakat ini.

Ia mencetuskan kebimbangan United tidak mempunyai kreativiti mencukupi dan ancaman gol dari bahagian tengah.

Pemain tengah England, Lingard, yang tampil dari akademi di Old Trafford, mencetus perbezaan pendapat dalam kalangan penyokong dan dikritik hebat dalam media sosial kerana persembahan buruknya.

Dia dituduh memalukan kelab sebelum musim bermula apabila mengepos video yang menunjukkannya menjerit dan memaki hamun ketika percutian bersama Rashford di Miami.

Lingard, yang mempunyai 6.6 juta pengikut di Instagram dan label pakaian jenamanya, JLingz, dinasihatkan supaya memberi tumpuan terhadap bola sepak oleh Solskjaer, dengan Rashford turut menerima nasihat serupa.

Sama ada dia hilang atau tidak fokusnya, pemain berusia 26 tahun yang memulakan tiga daripada lima aksi United dalam Liga Perdana setakat ini, bergelut untuk membuat impak di tengah padang musim ini.

Dia tidak menjaringkan gol atau mencipta jaringan buat kelab itu sejak Januari lalu dan penyokong yang tidak sabar mempersoalkan kewajaran menawarkannya kontrak baharu.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 11:50am
d