mutakhir

Kementerian, agensi kerajaan 'buka pintu'

Oleh BERNAMA

BUAT julung kalinya, 23 kementerian dan lebih 90 agensi kerajaan di Putrajaya akan ‘membuka pintu’ premis masing-masing pada 5 Oktober ini bagi menawarkan perkhidmatan kepada orang awam sempena Hari Terbuka Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, Hari Terbuka Putrajaya anjuran bersama PPj dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar itu adalah acara kemuncak bagi tiga acara yang berlangsung di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dari 3 hingga 6 Oktober ini.

Beliau berkata, Hari Terbuka Putrajaya bagi menghubungkan perkhidmatan awam dengan masyarakat dengan tema ‘Sehari Bersama Rakyat, Menyediakan 1001 Perkhidmatan’ itu akan berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah diskaun saman trafik, pemasangan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) percuma, karnival kerjaya, semakan wang tidak dituntut serta urusan pencen,” katanya pada sidang media pra-pelancaran Hari Terbuka Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan yang terletak di Kuala Lumpur akan turut mengambil bahagian dengan membawa aset mereka ke Putrajaya untuk pameran Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, dua lagi acara yang akan berlangsung di Putrajaya ialah Karnival Putrajaya dan Digital Putrajaya Exhibition and Conference (DiPEC) 2019.

Karnival Putrajaya akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober dengan 37 acara dirangka dengan fokus kepada aktiviti peringkat komuniti seperti kecergasan, persembahan, pertandingan, jualan produk komuniti dan aktiviti kanak-kanak.

Aminuddin berkata, ia bertujuan merapatkan hubungan komuniti Putrajaya yang kini mencecah 100,000 orang dengan PPj.

DiPEC pula yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober bertemakan ‘Building Smarter City For The Rakyat’ menonjolkan lebih 50 pameran teknologi dari institusi awam dan syarikat swasta.

Aminuddin berkata, ketiga-tiga acara berkenaan dijangka menarik 50,000 pengunjung.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 6:05pm
d