mutakhir

Penyamun kelar doktor gigi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DOKTOR gigi wanita cedera di leher selepas dikelar penyamun yang menyamar sebagai pelanggan di sebuah klinik gigi di Seksyen 14, Sea Park, Petaling Jaya, menyebabkan kerugian RM2,000 hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 10.56 pagi daripada panggilan Mers 999.

Menurutnya, hasil keterangan daripada jururawat memberitahu lelaki terbabit datang membuat rawatan akar gigi pada jam 9.30.

“Mangsa berusia 57 tahun kini menerima rawatan di hospital swasta selepas luka di leher akibat hirisan pisau yang mengenai arterinya namun dalam keadaan stabil dan boleh bercakap.

“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan MyKad atas nama orang lain apabila semakan gambar dari rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang ditunjukkan kepada mangsa mendapati ia berlainan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek berbadan kurus memakai baju dan seluar warna hitam berlari membawa beg bimbit mangsa selepas selesai rawatan gigi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 7:01pm
d