mutakhir

429 pengunjung pusat hiburan ditahan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 429 pengunjung pusat hiburan termasuk seorang konstabel polis yang berhibur sambil melepaskan ketagihan dadah ditahan dalam Ops Club Rats dijalankan sekitar ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi dua hari itu dijalankan di 22 pusat hiburan berlesen bermula Sabtu hingga semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu, 1,350 pengunjung pusat hiburan diperiksa dan 275 pengunjung didapati positif ujian saringan peringkat awal membabitkan 205 pengunjung lelaki dan 70 wanita ditahan.

“Malah, dalam operasi sama, polis menahan seorang konstabel polis berusia 27 tahun yang dikesan positif mengambil dadah jenis methaphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, daripada 275 jumlah pengunjung positif dadah itu, 35 daripadanya adalah warga asing.

Katanya, selain itu polis turut menahan 154 pengunjung atas kesalahan memiliki bahan terlarang seperti heroin, ketamin dan erimin 5, pil ekstasi dan air ketum.

“Semua dadah serta bahan terlarang itu dianggarkan seberat 413.7 gram atau bersamaan RM4,012.

“Mereka yang positif dadah serta memiliki dadah itu kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Khalil berkata, Ops Club Rats itu akan dijalankan secara berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini sama seperti Op Blue Devil yang digerakkan bagi membersihkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada najis dadah.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 9:45pm
d