utama

Dapat watak idaman - Syafiq Kyle

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PELAKON terkenal, Syafiq Kyle, 27 menadah kesyukuran apabila menerima pelbagai tawaran lakonan selepas dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 pada 22 September lalu.

Anak jati Kuala Lumpur ini mengakui namanya kian melonjak selepas memenangi kategori itu.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Melalui kemenangan ini, saya mahu terus berkarya dan menghiburkan penonton,” katanya.

Menurut Syafiq, dalam masa terdekat dia akan terbabit dengan penggambaran filem aksi dan sangat berterima kasih kepada produksi yang sudi memberikan peluang itu kepadanya.

“Setakat ini saya masih menunggu tarikh penggambaran. Saya sangat teruja kerana sudah lama menantikan peluang beraksi dalam filem genre sebegini.

“Lebih menggembirakan apabila saya diberi peluang tampil sebagai hero,” katanya.

Selain itu, pelakon drama Bila Hati Berbicara itu turut dirisik sebuah produksi untuk membintangi telefilem.

“Tawaran ini masih dalam perbincangan. Alhamdulillah, satu demi satu rezeki datang dan ia tidak akan dipersia-siakan,” katanya.

Naib Juara Hero Remaja 2011/2012 ini juga mengakui banyak tawaran diterimanya dan sedang meneliti skrip.

Syafiq yang membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian pada Anugerah Skrin ke-22 juga mengakui tidak sabar menantikan tayangan filem terbaharu lakonannya, Pusaka yang akan menjengah pawagam pada 31 Oktober ini.

Berkongsi mengenai perkembangan lain, Syafiq berkata dia dilantik sebagai duta minuman tenaga bersama Hairul Azreen dan Mira Filzah.

“Ia rezeki berterusan yang dikurniakan Allah. Malah, saya juga akan dilantik sebagai duta untuk sukan permotoran, Toyota Gazoo Racing,” katanya.

Dalam dunia seni, Syafiq mahu menjadi pelakon serba boleh bukan saja di televisyen bahkan melalui medium lain.

“Tentunya, anugerah yang diraih (ABPBH) ini idaman semua pelakon. Saya menganggap kemenangan ini sebagai bonus dan lebih utama saya mahu dikenali kerana kualiti lakonan,” katanya.

Bagi Syafiq, dia mahu mempelbagaikan watak lakonan yang tidak berunsurkan percintaan semata-mata.

“Jika diimbau kembali, saya pernah membintangi telefilem Taubatku beberapa tahun lalu. Menerusi karya itu, saya memegang watak seorang bapa yang mengharungi kesukaran hidup dengan menjual sate.

“Saya mahu ke arah itu dan lakonan berbalik kepada realiti,” katanya berharap dapat meningkatkan mutu lakonan bagi memastikan penonton tidak bosan.

Menyedari langit tidak selalunya cerah dan Syafiq memiliki beberapa perancangan lain bagi menentukan destinasi dan hala tuju selepas ini.

“Selain berlakon, saya berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak beberapa tahun lalu. Pada masa akan datang saya akan meluaskan perniagaan dalam bidang yang lain pula,” katanya.

Pawana Isabella buka mata Syafiq

Dia yang gemar bermain bola sepak berkongsi kepuasan sebaik menjayakan watak Raja Al-Hasiq Ghibran dalam pementasan teater Pawana Isabella di Istana Budaya, 21 hingga 31 Ogos lalu dan 13 hingga 16 September lalu.

“Pengalaman pertama kali itu amat mengujakan dan ia bukan mudah berbanding filem atau drama. Dalam teater ini, saya tidak boleh melakukan kesalahan, menutur dialog dengan jelas atau mengulangi semula babak lakonan,” katanya.

Atas tunjuk ajar Erma Fatima, Syafiq gembira dapat melaksanakan tanggungjawabnya dan baginya karya itu istimewa kerana mengangkat semula bangsawan Melayu.

“Apabila bercakap mengenai sejarah kita, ia sesuatu yang boleh dibanggakan. Sejak di bangku sekolah, kita diajar mengenai keperkasaan Melayu dan Islam serta baiknya bangsa ini yang sanggup menerima kemasukan pedagang luar,” katanya.

Dalam pada itu Syafiq sekali lagi mahu menjayakan teater dan berharap diberi peluang bermonolog seorang diri.

“Saya bersyukur pementasan teater itu berjaya dan atas permintaan ramai, ia dipentaskan semula pada 13 hingga 16 September lalu,” katanya.

TRIVIA

- Pelakon yang nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini ialah bekas penuntut Diploma Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

- Memiliki ketinggian 1.74 meter pernah dikaitkan hubungan bersama Uqasha Senrose. Kisah percintaan terbaharunya adalah dengan Mimi Lana.

- Karier seninya bermula pada 2013 apabila memegang watak kecil dalam drama Iparku Diva di Astro Warna lakonan Rozita Che Wan, Norman Hakim dan Sheera Iskandar.

- Syafiq kemudian menjayakan watak Johan, seorang anak yang kuat memberontak dalam drama keagamaan Tanah Kubur dari musim ke-3 hingga ke-9 bersama pelakon veteran, Nasir Bilal Khan.

- Pengiktirafan pertama diraihnya adalah memenangi Pelakon Paling Membantu pada Anugerah Throwbaek Drama menerusi drama Tanah Kubur pada 2017.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 5:34am
d