PnP

Lebih selesa guna

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

MEMBESAR dalam keluarga serba sederhana dengan adik-beradik seramai 10 orang menjadikannya lebih awal belajar erti berjimat cermat.

Muhammad Yusri Razali, 29, anak kedua dan abang sulung kepada tidak kekok berjimat mengenangkan perbelanjaan besar perlu ditanggung ibu bapanya.

“Saya membesar dalam keluarga yang agak ramai dan sudah pasti perbelanjaan untuk membesarkan kami agak tinggi.

“Namun, saya belajar berjimat dan mengelak berhutang sekiranya mahukan sesuatu,” katanya kepada P&P di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, selepas tamat pengajian diploma, dia menyertai kelas Bahasa Jepun bagi menambah kemahiran namun tidak menyangka ia juga membuka peluang untuknya berhijrah ke negara matahari terbit itu untuk mencari rezeki.

“Selepas menyertai kelas berkenaan saya diberi peluang bekerja di Jepun selama tiga tahun.

“Ketika di sana, saya masih meneruskan sikap berjimat cermat dan kebiasaannya akan menyimpan separuh daripada gaji diterima.

“Ketika itu, saya berazam memiliki rumah sendiri sebelum mencapai usia 30 tahun,” katanya.

Yusri berkata, sebelum membuat keputusan membeli rumah, dia sedikit ragu-ragu dengan kemampuan kewangannya dan tidak pasti sama ada ia keputusan yang betul.

“Saya mula aktif mencari maklumat di media sosial dan bersyukur ditemukan dengan beberapa individu yang tidak kedekut berkongsi ilmu mengenai hartanah.

“Hasil perkongsian yang dibuat selain mengikuti beberapa siri ceramah berkaitan hartanah, saya kembali yakin dengan keputusan memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Menurutnya, memandangkan tidak pernah terbabit dalam sebarang urusan berkaitan selok-belok pembelian hartanah, dia lebih selesa menggunakan perkhidmatan ejen.

“Walaupun ada individu yang selesa menguruskan sendiri segala proses pembelian, bagi saya menggunakan khidmat ejen adalah lebih baik kerana mereka berpengalaman.

“Malah, melalui ejen jugalah saya mendapat maklumat berkaitan rumah yang dimiliki ketika ini,” katanya.

Yusri membeli kediaman sekunder jenis apartmen kos sederhana di Damansara Perdana pada harga RM216,000.

“Pembelian unit ini selesai pada tahun ini selepas sekitar setahun pencarian dibuat. Sekarang unit ini disewakan dengan kadar RM800 sebulan.

“Walaupun lokasi kediaman ini boleh dianggap premium, masih terdapat unit ditawarkan pada harga mampu milik,” katanya.

Katanya, mereka yang bercadang memiliki kediaman sendiri perlu mencari ilmu berkaitan hartanah bagi mengelak bebanan kewangan.

“Sebelum membeli rumah, kita perlu mendapatkan ilmu terlebih dulu. Jangan jadikan pembelian rumah itu satu beban pada kemudian hari dek kesilapan kita hari ini yang enggan menuntut ilmu sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 8:15am
d