mutakhir

Pemetik api sambar tilam, pemuda

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LELAKI melecur hampir seluruh badan selepas tilam di dalam biliknya di Kampung Tersusun Batu 5 Tambun, Ipoh terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 40-an yang mengalami masalah mental dipercayai bermain pemetik api hingga tilam itu terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 1.35 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh ke lokasi.

“Tilam di dalam bilik di rumah itu musnah 90 peratus, namun kebakaran tidak membabitkan struktur rumah dan dipadamkan tuan rumah sebelum bomba tiba di lokasi.

“Terdapat seorang lelaki berusia 40-an didapati melecur anggota badan dan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Bomba Idris Ibrahim itu tamat pada 2.04 petang.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 8:47pm
d