mutakhir

Rampas balak RM100,000

Oleh Mohd Rafi Mamat

SEBANYAK 34 balak bermutu tinggi dianggarkan bernilai RM100,000 dirampas dalam operasi Pejabat Hutan Daerah (PHD) di Rompin, sejak bulan lalu.

Semua balak yang ditebang secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ibam dipercayai untuk pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, empat jenis kayu yang dikenal pasti cuba dilarikan ialah meranti, kempas, nyatoh dan sepetir.

Katanya, turut disita jengkaut dipercayai digunakan untuk memindah dan mengangkat balak terbabit ke atas lori.

“Kita percaya ia dilakukan sindiket berpengalaman luas melakukan kerja hutan terutama di daerah ini.

“Hutan simpan Ibam yang terkenal dengan pelbagai jenis balak berkualiti tinggi serta berharga mahal sentiasa menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut hasil secara salah dan menyalahi undang-undang,” katanya di Rompin, hari ini.

Beliau berkata, faktor banyak jalan keluar memberi peluang kepada sindiket untuk melakukan aktiviti menebang dan memindahkan balak dari hutan simpan Ibam yang terletak berhampiran dengan FELDA Chini.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya mendapati aktiviti menebang balak secara haram dilakukan pada waktu malam sebelum hasil hutan itu akan dibawa keluar dan dihantar ke kilang papan pada awal pagi.

“Pelbagai taktik digunakan sindiket terbabit bagi melepaskan diri daripada diberkas pihak berkuasa dan biasa digunakan,” katanya.

Katanya, balak yang dirampas kini ditempatkan sementara di perkarangan pejabat hutan Muadzam Shah sebelum dilelong dalam masa terdekat.

Mohd Hizamri berkata, maklumat awam menjadi petunjuk kepada PHD Rompin melakukan serbuan itu.

“Kita akan berusaha menyekat kegiatan mencuri balak di negeri ini dengan pelbagai cara, selain sekatan jalan raya unit penguatkuasaan Pahang Timur dan Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan melakukan rondaan dan intipan disetiap kawasan panas,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 10:55am
d