global

Kenya lancar bank susu ibu pertama

Oleh Reuters

NAIROBI: Kenya lancarkan bank susu ibu pertama negara itu bagi membantu ibu yang tidak dapat menyusukan bayi sendiri menerusi susu yang didermakan oleh beberapa ibu yang mahu membantu.

Enam bulan lalu, Kementerian Kesihatan dan Pusat Penyelidikan Penduduk dan Kesihatan Afrika menubuhkan bank susu pertama di Hospital Bersalin Pumwani di Nairobi.

Jurucakap pusat kajian, Elizabeth Kimani-Murage, berkata projek perintis itu dilaksanakan untuk melihat jika bank susu ibu yang sama dapat ditubuhkan di tempat lain di negara itu.

Ketua unit jururawat, Faith Njeru berkata, setakat ini, seramai 75 bayi menerima susu ibu daripada 400 penderma.

"Kebanyakan ibu tidak dapat menyusukan bayi mereka kerana tidak dapat hadir, sakit, tidak boleh mengeluarkan susu atau masalah penyalahgunaan bahan.

"Bank yang sama terdapat di Afrika Selatan, Mozambique dan Cape Verde, tetapi penduduk Kenya belum pernah mendengar idea seumpama itu.

"Justeru, saya dan pasukan perlu memberi pendekatan selesa kepada orang ramai mengenai idea mendermakan susu ibu itu (agar ia diterima)," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 7:31pm
d