mutakhir

Produk khinzir banyak dirampas di LTSAS

Oleh Shaarani Ismail

DAGING khinzir, daging buaya dan buah-buahan menjadi antara barangan yang sering cuba dibawa masuk secara tidak sah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh dan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak.

Pengarah MAQIS Perak Zamri Hashim berkata, barangan berkenaan dikesan cuba dibawa masuk melalui lapangan terbang itu dalam tempoh dua minggu terakhir bulan ini walaupun larangan sudah dikeluarkan agensi berkenaan.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan sepanjang minggu ketiga dan keempat bulan ini, MAQIS merampas sebanyak 50 kilogram (kg) daging khinzir, 5 kg daging buaya dan 30 kg produk pertanian lain dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,000.

“Rampasan yang paling banyak adalah produk berasaskan khinzir seperti daging segar, daging perap dan sosej.

“Arahan larangan import produk khinzir itu sudah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penyebaran penyakit deman babi Afrika (ASF) dari pelbagai negara terutama China, Hong Kong, Laos, Myanmar, Kemboja, Poland, Belgium dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambri berkata, membawa masuk produk haiwan tanpa permit import dan melanggar syarat import itu adalah satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen sama.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Zamri berkata, MAQIS juga akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam mengimport atau membawa masuk produk pertanian tanpa permit import yang sah.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:06pm
d