mutakhir

Sumbat 20 guni ketum dalam kenderaan

Oleh Mohd Rizal Abdullah

DUA lelaki ditahan ketika cuba menyeludup 556 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM100,000 dalam rondaan Op Wawasan Kedah/Perlis di Ladang Pokok Jati, Padang Besar hari ini.

Lelaki warga tempatan berusia 24 dan 37 tahun itu ditahan pasukan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika menaiki Mitsubishi Pajero pada 1.52 tengah hari.

Komander Briged Utara, PGA Hulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, mereka dikesan hasil pemantauan anggota PGA selama dua jam di kawasan itu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan polis menemui 20 guni daun ketum bernilai RM114,900 yang disumbat di dalam kenderaan itu.

“Kedua-duanya dikesan cuba menyeludup daun ketum itu ke Thailand menerusi pagar sempadan di Padang Besar.

“Pemeriksaan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah.

“Semua barangan itu dirampas dan mereka dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Semalam, dua lelaki turut ditahan atas kesalahan sama dengan cuba menyeludup 574 kilogram daun ketum bernilai RM 84,600 di Tanah Perkuburan Cina, Kampung Melayu Padang Besar.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 9:42pm
d