global

17 maut bas terjunam dalam sungai

Oleh AFP

KATHMANDU: Seramai 17 penumpang termasuk tujuh kanak-kanak terbunuh selepas bas dinaiki terjunam ke dalam sungai di barat laut Kathmandu semalam.

Bas yang penuh dengan penumpang itu tergelincir ketika melalui jalan raya di daerah Sindhupalchowk dan terjunam 50 meter ke dalam Sungai Sunkosi.

Pegawai daerah Goma Devi Chemjong berkata, kemalangan itu turut menyebabkan seramai 50 penumpang termasuk pemandu bas cedera.

Pengendali bot turut menyertai operasi untuk membantu polis dan tentera mencari mangsa hilang.

“Jumlah sebenar mangsa hilang tidak diketahui kerana tiada rekod bilangan penumpang yang menaiki bas itu,” katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan punca kemalangan itu.

Bulan lalu, seramai 11 orang maut dan lebih 100 lagi cedera selepas sebuah bas terjunam dalam sungai di Nepal.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 3:50pm
d