arena

Czech pastikan tiket Euro 2020

Oleh Reuters

REPUBLIK Czech menempah tiket ke Euro 2020 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Kosovo 2-1 ketika Alex Kral meledak satu gol dan mencipta satu lagi sekali gus membantu tuan rumah muncul naib juara Kumpulan A di Plzen, awal pagi tadi.

Czech mendominasi aksi namun gagal menyudahkan peluang pada babak pertama sebelum ketinggalan apabila penyerang Atdhe Nuhiu menjaringkan gol sekalipun bertentangan arus perlawanan pada minit ke-50.

Namun tuan rumah bangkit dan menyamakan kedudukan pada minit ke-71 apabila pemain tengah Kral merampas bola sebelum melakukan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Kosovo.

Gol itu meningkatkan semangat Czech yang menyaksikan dua kali bola terkena palang gol sebelum Kral yang berusia 21 tahun mengumpan kepada Ondrej Celustka bagi gol kemenangan pada minit ke-79.

“Ia menakjubkan,” kata Kral. “Kami bekerja keras untuk layak dan ia sudah dilaksanakan. Kami bertindak balas dengan baik susulan gol Kosovo dan kini kami layak.”

Czech, yang berdepan Bulgaria Ahad ini, mengumpul 15 mata dan akan berakhir sebagai naib juara kumpulan di belakang England yang meraih 18 mata selepas membelasah Montenegro 7-0 di Wembley.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 10:16am
d